Datanglah Beramai-ramai memeriahkan Pameran ICT TERBESAR di Johor Bahru Ini.

Tarikh : 21-27 June 2010

Tempat : PESADA JOHOR Masuk PERCUMA!!..

Perasmian Oleh Menteri Besar Johor Pada 21 June 2010 Jam 3 petang

Radio Internet FuhYooFM akan bersiaran di sana!

Selamat Hari Guru

May 16th, 2010

Salam siaran..

Kepada semua guru, cikgu dan pendidik yang pernah mengajarkan walau sepatah perkataan kini menjadi ilmu yang sangat berguna, terima kasih! Semoga kalian dilimpahi kerahmatan dan kebahagiaan. Sentiasa tenang melalui perjalanan hidup ini sebagaimana tenangnya dan ikhlasnya jiwamu dan hati nuranimu ketika berkongsi ilmu dengan anak-anak muridmu suatu waktu dahulu.

Ikhlas daripada anak-anak muridmu

Terharu…

May 14th, 2010

Salam siaran

Itulah yang tergambar, apabila melihat respon daripada rakan facebook yang telah menghulurkan sumbangan untuk adik-adik/anak-anak kita yang bakal beraksi di Plaza Angsana nanti. Pada mulanya saya berbelah bagi untuk meletak note yang bertajuk Kami Mencari Penyumbang Hadiah di laman sosial terbesar itu.

Banner karnival 4 Terharu...

Datanglah Beramai-Ramai

Maklumlah bimbang kalau dikatakan peminta sedekah pula. Tetapi demi anak-anak/adik-adik itu, saya lakukan walau muka rasa tebal seinci rasanya. Kami memang terdesak berikutan bajet yang begitu ketat. Saya memikirkan alangkah hampanya peserta yang bertanding kelak andainya selepas berhempas pulas berlatih sehinggalah ke hari persembahan, tiada pula hadiah atau ganjaran buat mereka.

Memang bukan itu yang ditagih, tetapi sekurang-kurangnya menjadi  dorongan dan galakan supaya mereka lebih bersemangat lagi. Jadi, ruang yang saya nampak hanyalah dengan cara ‘mengadu nasib’ kepada rakan-rakan Facebook.

Syukur Alhamdulillah, maklumbalas yang diterima sangat positif. Sehingga ada yang menyarankan supaya saya meletakkan no akaun bank supaya mudah bagi sesiapa yang berhajat menyumbang tanpa perlu menghubungi sesiapa.(pada mulanya saya tak letak, bimbang disalah anggap).

Kini kami (Fitrah Media Enterprise dan Pejabat Pelajaran Daerah Johor Bahru – PPDJB-sudah boleh menarik nafas sedikit lega. Bagi kami jumlah bukanlah ukuran, tetapi keikhlasan itu yang lebih diutamakan.

Kepada rakan-rakan yang telah memberikan sumbangan, tiada perkataan lain yang dapat kami titipkan selain ucapan terima kasih tidak terhingga. Keluhuran budi kalian tidak terdaya kami membalasnya. Hanya pada Allah S.W.T kami serahkan segalanya.

SK SURIA 111 Terharu...Inilah gambar tahun 2006 ketika Bengkel Asas Penyiaran berlangsung di Sekolah Kebangsaan Taman Suria Johor Bahru

Apa yang pasti sumbangan kalian baik berapa jua jumlahnya, sangat-sangat menggembirakan hati anak-anak itu. Mereka merasakan apa yang mereka lakukan selama ini mendapat sokongan dan restu daripada anda semua.

Cuma satu yang ingin kami jelaskan, walaupun mereka menggunakan platform broadcasting sebagai landasan mencanai idea dan kreativiti, tetapi ianya tetap berorientasikan pendidikan. Unsur hiburan hanyalah sebagai penyeri acara bagaikan rempah ratus yang menaikkan aroma masakan :-)

InsyaAllah! Suatu hari nanti mereka ini bakal mengambil tempat menggantikan nama-nama besar dalam penyiaran radio di negara kita. Berkat bimbingan, kepercayaan dan peluang yang tersedia, sesungguhnya mereka boleh pergi jauh berbekalkan bakat yang dimiliki.

Sama-samalah kita doakan.

Jom Layan Lagu Pelita Hati – M Bakri

May 12th, 2010

Salam siaran

Masa balik kerja 2 hari lepas penulis terdengar lagu ini di putarkan dj bertugas di Radio Malaysia Klasik Nasional. Memang penulis adalah peminat tegar rancangan ADILA – ringkasan bagi Aku Dia Dan Lagu – sebuah program yang cukup popular di stesen radio tersebut.

Syok juga sambil memandu sambil layan lagu-lagu klasik tahun 60an macam ni. Lebih menarik lagi kita dapat mendengar titipan kenangan pendengar yang meminta lagu tersebut. Dengar lagu sambil menmgimbau kenangan :) .

Adakalanya kita juga turut terimbau kenangan lalu zaman muda-muda hoho…

Oh! ya.. program ADILA ini keudara setiap hari Isnin sampai Khamis bermula jam 5.20 petang sehingga jam 7 malam. Antara deejay yang biasa penulis dengar mengendalikan rancangan ini ialah DjHaris, DjMuhammad Hj Hanafi, DjIra, DjYusmawati Yunus, Norlia Ahmad (senior Deejay aka penerbit) dan beberapa nama lagi yang penulis tak berapa ingat.

Ikhlas cakap program ini memang menarik. Adakalanya coretan kenangan pendengar disampaikan oleh suara-suara nama  seperti Datuk Rahim Razali, Eman Manan, Zuraidah Mohd Nor, Hj Khalim Rohani,  dan ramai lagi  dramatis dan juruhebah RTM.

Penulis cukup pasti, setiap kita mempunyai kenangan terhadap sesebuah lagu. Maklumlah kehidupan seharian kita seringkali dilatari dengan pelbagai jenis lagu. Satu atau dua daripadanya pasti amat terkesan di hati. Apabila waktu berlalu, sesekali terdengar kembali lagu yang sama, sudah pasti kenangan itu akan menerjah  kembali ke benak kita.

Dan, Radio Klasik Nasional mengambil langkah bijak mewujudkan program ini kerana sesungguhnya selama ini kita semua tercari-cari di manakah tempat yang sesuai untuk dititipkan kenangan itu. Kini ADILA adalah jawapannya.

=====================================================

Penulis tidak dibayar untuk menulis entry ini. Ianya lahir dari keikhlasan untuk menyebar luas maklumat mengenai pogram menarik ini di samping menyatakan betapa penulis amat meminati program ini.

=====================================================.

P/s: Selamat Hari Jururawat kepada semua missy. Kami hargai jasa dan pengorbanan kalian. Misi jangan marah-marah, nanti pesakit jadi makin parah.

Selamat Hari Ibu

May 7th, 2010

Salam siaran..

“Salam bahagia, salam hormat dan selamat bersama kembali di ruang udara Best 104 Sensasi Selatan. Hari ini Ahad, minggu kedua dalam bulan Mei, Kita semua meraikan satu hari yang cukup bermakna untuk seorang insan yang kita panggil mama, umi, amma, mother, ibu dan sebagainya. Tidak kira bagaimana anda menyebutnya, dia adalah seorang wanita yang begitu istimewa di hati kita semua. Wanita itu ialah .. IBU kita!
Baiklah sempena Hari Ibu kali ini, kami hidangkan sebuah program menarik untuk anda sertai. Titipkan kata-kata paling bermakna untuk ibu anda. Anda boleh smskan ke nombor 32728 atau hubungi kami di talian 07-333 1041. Sementara menunggu sms dan panggilan anda semua, kita berhibur hati terlebih dahulu bersama lagu ini .. Mawar Putih Untuk Mama – Datuk Syarifah Aini -

Terus temani Dj EmR di Best 104 Sensasi Selatan.”

=======================================================

Wah! Begitulah di antara bait-bait kata sebagai pembuka bicara rancangan khas setiap kali menjelang sambutan hari ibu yang jatuh pada minggu ke-2 dalam bulan Mei setiap tahun.

Masa tu saya memang seringkali ditugaskan pada hari minggu. Jadi setiap tahunlah saya akan mengendalikan rancangan khas Hari Ibu. Rindu benar rasanya pada suasana tu.Huhu…

Tambah meriah apabila ramai yang memberi respon samada melalui sms atau panggilan telefon terus ke konti radio. Lagu-lagu yang melatari program ini pula sudah semestinya yang bertemakan ibu, sesuai dengan sambutannya.

Saya adakalanya amat tersentuh dengan kata-kata yang dititipkan oleh pendengar untuk ibu mereka yang tersayang. Terdetik juga di dalam hati; Owh! Masih ramai di luar sana yang amat sayangkan ibu mereka, mengambil berat dan mengambil tahu perihal ibu mereka. Sedangkan pada sisi yang lain, kita seringkali terbaca paparan media kisah pengabaian ibu tua oleh anak-anak yang tidak tahu mengenang budi.

Syukurlah jumlahnya tidak ramai. Atau setidak-tidaknya dalam hati saya sering berdoa supaya kenyataan itu adalah benar dan tepat. Jumlah anak-anak tidak mengenang budi ini tidaklah ramai dan kes ini boleh diandaikan sebagai kes terpencil.

Sehinggalah saya terjumpa/berjumpa seorang ibu tua (ketika membuat rakaman program) di salah sebuah tempat penjagaan orang tua di Johor Bahru, Saya rasa saya perlu memikirkan semula ketepatan kenyataan di atas.

Sebabnya, ibu tua itu yang telah menjangkau usia hampir 70 tahun, dihantar anak-anaknya yang seramai 9 orang itu ke pusat berkenaan. Sejak itu ibu tua itu jarang-jarang benar dikunjungi mereka. Mendengar ibu tua ini bercerita, saya lihat rakan setugas masa tu DjRiena Jamal, telah beberapa kali memalingkan muka menyeka airmata yang tanpa sedar tumpah membasahi pipi.

Saya juga tidak mampu menyembunyikan rasa sebak, lebih-lebih lagi tatkala mengenangkan ibu sendiri yang jauh di kampung halaman. Kalau boleh mahu saja terbang ke sisi ibu, mencium tangan ibu dan mengucup dahi ibu sambil mengungkapkan kata-kata “Ibu,  saya sayang Ibu! Ampunkanlah anakmu ini yang telah tidak terkira banyaknya berbuat salah pada ibu. “

Hari ini sempena sambutan Hari Ibu, sekali lagi ingin saya ungkapkan kata-kata itu khusus untuk ibuku tersayang!

Dan, kepada semua ibu-ibu di dunia ini, Saya ucapkan selamat menyambut Hari Ibu. Terima kasih kerana memberi peluang kepada kami melihat dunia, bertatih, menjadi remaja, dewasa, punya kerjaya yang baik sehinggalah mampu melengkapkan kehidupan ini dengan fitrahnya, bercinta, berkahwin punya anak dan tiba pula giliran kami menjadi Ibu dan Ayah!

Semoga kehidupan kalian terus menerus dilimpahi kebahagiaan, keriangan dan kasih sayang tidak berbelah bagi daripada anak-anak dan cucumu. SELAMAT HARI IBU!

Juruhebah ‘Papa Din’ Meninggal Dunia

May 7th, 2010

Salam Siaran

Ini berita yang dipetik daripada Bernama Online:-

“SEREMBAN, 6 Mei (Bernama) — Juruhebah Radio Malaysia NEGERIfm, Kamaruddin Kassim atau lebih dikenali sebagai Papa Din meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja’afar di sini, malam Khamis.

Menurut rakan setugas Allahyarham, Fazidah Mohd Yusof, Kamaruddin meninggal dunia pada kira-kira pukul 7.30 petang tadi. Beliau berusia 56 tahun.

Allahyarham yang berasal dari Kampung Ulu Cheka, Jerantut, Pahang, meninggalkan seorang isteri, Masitah Yusuf, 54, serta lapan orang anak dan dua orang cucu.

“Menurut ahli keluarganya, Allahyarham dimasukkan ke wad dua hari lepas setelah mengadu sakit perut. Saya difahamkan Allahyarham pernah menjalani pembedahan pada tahun lepas akibat barah usus yang dihidapinya,” katanya kepada Bernama.

Fazidah berkata Allahyarham pada awal kariernya bertugas di Unit Hiburan Muzik Radio Kuala Lumpur dan kemudian ditempatkan di unit yang sama di Radio Malaysia Melaka.

“Kemudian pada Ogos 1990, Allahyarham bertugas di Radio Malaysia NEGERIfm sewaktu itu dikenali sebagai Radio Tiga Seremban sebagai Penerbit Rancangan.

“Sewaktu bertugas di Negeri Sembilan, Allahyarham telah menerbitkan beberapa rancangan radio antaranya ialah Rancangan Tunas Sembilan, iaitu program mencungkil bakat-bakat baru nyanyian, di mana penyanyi terkenal Siti Nordiana turut dicungkil dari program tersebut,” katanya.

Katanya program terakhir yang sempat diterbitkan Allahyarham di Radio Malaysia NEGERIfm ialah “Teen Search”.

Jenazah Allahyarham akan dikebumikan esok di Tanah Perkuburan Makam Tuan Haji Said di sini, selepas Solat Jumaat.

– BERNAMA ”

P/s: Hilang seorang lagi rakan Dj/juruhebah. Teringat kata-kata seorang DjSenior… Seorang dj radio hanya diingati ketika suaranya berkumandang di corong radio. Selepas dia off mic (tidak keudara), dia tidak akan dingati lagi.. huhu..

Ppp/s: Sebelum ini Allahyarham pernah kehilangan anak lelaki

Pp/s: Apapun Takziah kepada keluarga Allahyarham. Semoga tabah menghadapi dugaan ini dan marilah kita sedekahkan Al-fatihah! Amin..