Salam siaran
Itulah yang tergambar, apabila melihat respon daripada rakan facebook yang telah menghulurkan sumbangan untuk adik-adik/anak-anak kita yang bakal beraksi di Plaza Angsana nanti. Pada mulanya saya berbelah bagi untuk meletak note yang bertajuk Kami Mencari Penyumbang Hadiah di laman sosial terbesar itu.

Datanglah Beramai-Ramai
Maklumlah bimbang kalau dikatakan peminta sedekah pula. Tetapi demi anak-anak/adik-adik itu, saya lakukan walau muka rasa tebal seinci rasanya. Kami memang terdesak berikutan bajet yang begitu ketat. Saya memikirkan alangkah hampanya peserta yang bertanding kelak andainya selepas berhempas pulas berlatih sehinggalah ke hari persembahan, tiada pula hadiah atau ganjaran buat mereka.
Memang bukan itu yang ditagih, tetapi sekurang-kurangnya menjadi dorongan dan galakan supaya mereka lebih bersemangat lagi. Jadi, ruang yang saya nampak hanyalah dengan cara ‘mengadu nasib’ kepada rakan-rakan Facebook.
Syukur Alhamdulillah, maklumbalas yang diterima sangat positif. Sehingga ada yang menyarankan supaya saya meletakkan no akaun bank supaya mudah bagi sesiapa yang berhajat menyumbang tanpa perlu menghubungi sesiapa.(pada mulanya saya tak letak, bimbang disalah anggap).
Kini kami (Fitrah Media Enterprise dan Pejabat Pelajaran Daerah Johor Bahru – PPDJB-sudah boleh menarik nafas sedikit lega. Bagi kami jumlah bukanlah ukuran, tetapi keikhlasan itu yang lebih diutamakan.
Kepada rakan-rakan yang telah memberikan sumbangan, tiada perkataan lain yang dapat kami titipkan selain ucapan terima kasih tidak terhingga. Keluhuran budi kalian tidak terdaya kami membalasnya. Hanya pada Allah S.W.T kami serahkan segalanya.
Inilah gambar tahun 2006 ketika Bengkel Asas Penyiaran berlangsung di Sekolah Kebangsaan Taman Suria Johor Bahru
Apa yang pasti sumbangan kalian baik berapa jua jumlahnya, sangat-sangat menggembirakan hati anak-anak itu. Mereka merasakan apa yang mereka lakukan selama ini mendapat sokongan dan restu daripada anda semua.
Cuma satu yang ingin kami jelaskan, walaupun mereka menggunakan platform broadcasting sebagai landasan mencanai idea dan kreativiti, tetapi ianya tetap berorientasikan pendidikan. Unsur hiburan hanyalah sebagai penyeri acara bagaikan rempah ratus yang menaikkan aroma masakan
InsyaAllah! Suatu hari nanti mereka ini bakal mengambil tempat menggantikan nama-nama besar dalam penyiaran radio di negara kita. Berkat bimbingan, kepercayaan dan peluang yang tersedia, sesungguhnya mereka boleh pergi jauh berbekalkan bakat yang dimiliki.
Sama-samalah kita doakan.