Entry kali ini ditulis dalam keadaan penuh emosi. Kalau anda bukan jenis yang suka membaca entry sebegini, saya dengan rendah hati meminta anda hentikan bacaan anda – Penulis.
=====================================================
Entah bagaimana harus saya mulakan entry kali ini. Rasa sayu menyelubungi di segenap ruang nadi. Dalam jarak waktu tidak sampai sebulan, harus menerima satu lagi berita kehilangan insan yang pernah dikenali, terasa amat memilukan. Baru lebih kurang 2 minggu lepas, peminat seni tanahair
kehilangan Din Beramboi, petang tadi satu lagi berita kehilangan tersebar ke seluruh maya.
Kali ini Achik Spin pula…
“Achik Spin Maut dalam kemalangan.” Itulah perkhabaran yang singgah ke telinga ini tatkala azan maghrib hampir bergema. . Qaluinnalillahi wainnaila hirajiunn… Al-Ftihah!
Kuasa Allah Tiada siapa yang dapat menduga. Jodoh pertemuan, ajal maut semuanya telah ditentukan. Hidup lawannya mati. Setiap yang bernyawa pasti akan kembali kepadaNya jua akhirnya. Begitu lah janji Allah terhadap Abdillah Murad atau Achik Spin yang maut dalam kemalangan jalanraya
sekiatar jam 6:15 ptg tadi. Dikatakan Allahyarham meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah yang dialami selepas tercampak keluar daripada kenderaan yang dinaiki bersama seorang rakan. Sungguh tragis melihat kenderaan itu hangus terbakar.
Apa lagi yang mampu saya coretkan menerusi medium yang satu ini. Dulu, atau lebih tepat lagi 2 minggu yang lalu, saya menerima berita pemergian Din Beramboi sebagai seorang yang agak ‘jauh’ daripada kehidupan peribadi saya. Kalau adapun hanyalah sekadar kami pernah berada dalam bidang yang sama iaitu menjadi DJRadio. Saya lebih senang menyifatkan diri saya hanyalah seorang daripada ribuan peminat beliau yang amat terasa akan kehilangannya. Tidak lebih daripada itu.
Tetapi, situasinya agak berbeza dengan apa yang berlaku kepada Achik Spin. Saya mengenali penyanyi lagu Mengusung Rindu itu sejak sebelum beliau menjadi penyanyi lagi. Ketika itu saya hanya memanggilnya sebagai Murad saja.
Teringat suatu ketika, masa tu dalam tahun 1996 atau 1997 saya bertemu beliau buat pertama kalinya di rumah penyanyi Siti Nordiana di Felda Sendayan,Seremban. Ketika itu kedua-duanya belum lagi bergelar penyanyi tetapi sudah dilamar oleh syarikat rakaman FMC. Hanya menunggu tarikh untuk masuk studio rakaman. Saya pula sedang bercuti(baru bergelar DJRadio di Best 104 Sensasi selatan) kerana menjalani pembedahan kecil di perut.
Dulu kalau bercuti, memang rumah Siti Nordianalah yang menjadi tempat lepak saya dan beberapa rakan lain. Memang itulah rutin hujung minggu saya(sebelum bekerja di Best 104) kerana biasanya Abang Lias (bapa siti Nurdiana) akan membawa kami ke rumah-rumah orang kahwin memenuhi undangan. Saya bertindak sebagai DJ dan Siti Nordiana sebagai penyanyi.
Kadang-kadang Team kami di sertai beberapa orang lagi penyanyi bidan terjun, antaranya yang saya masih ingat Azizi (anak penghulu yang minat sangat menyanyi), Azmi (budak Pahang pernah buat album dengan satu group, saya tak ingat namanya), Aishah (penyanyi Shikin dangdut) dan ramai lagi.
Achik spin tidak ada dalam senarai Team kami masa tu. Itulah sebabnya saya agak terkejut apabila Abang Lias memberitahu Achik akan berduet dengan Nana. Itu keputusan pihak syarikat rakaman, katanya. Sehinggalah pertemuan kami pada malam itu, saya mengenali Achik sebagai seorang remaja kampung yang cuba menerobos dunia glamer seorang artis berbekalkan suara dan bakat nyanyian yang dimiliki.
Pada pertemuan itu beliau bertanya kepada saya apakah nama sesuai untuk digunakan apabila bergelar artis nanti. Adalah beberapa nama yang saya cadangkan. Perkara itu terus hilang dari ingatan setelah saya kembali bertugas selepas bercuti hampir sebulan. Lama juga saya tidak mendengar berita mengenainya kerana ketika itu album pertama Siti Nurdiana diterbitkan terlebih dahulu. Selepas Nana popular dengan lagu Cinta Hanya Sandaran, barulah beliau dan Groupnya masuk studio.
Kebetulan Group baru ini dijaga oleh seorang rakan lama (bekas staff Best 104) yang beralih bidang menjadi PR Syarikat Rakaman FMC, Amy. Daripada Amy saya banyak mendapat update mengenai perjalanan seni Achik Spin. Saya diberitahu beliau menggunakan nama Achik dan Kumpulannya Spin. Maka lekatlah nama Achik Spin. Nama itu benar-benar membawa tuah apabila mereka mula dikenali menerusi lagu Mengusung Rindu, lagu yang dipetik daripada album pertama Spin.
Selepas itu beliau terus popular dan menambah bilangan peminatnya apabila digandingkan dalam album duet bersama Siti Nordiana. Maka lahirlah lagu-lagi seperti Gurauan Berkasih, Memori Berkasih Paling Comel, Mainan Cinta dan banyak lagi. Saya meneruskan tugas sebagai DjRadio di Best 104 dan beliau sekali sekala turun JB untuk mempromosikan album terbarunya. Perkara itu berlanjutan beberapa lama sehinggalah beliau berkahwin. Selepas itu popularitinya agak menurun ditambah dengan kemunculan bintang-bintang daripada program reality.
Daripada Amy, saya ada juga mendengar, pihak syarikat baru-baru ini telah mengatur beberapa program untuknya termasuk pembikinan album duet bersama Siti Nurdiana. Malah dalam album kompilasi kumpulan Remaja popular, turut diselitkan sebuah lagu nyanyian terbaru Achik Spin.
Begitulah perjalanan seni Achik Spin yang sempat saya saksikan. Tidak disangka semuanya itu terhenti begitu cepat. Dia pergi dalam usia muda (27 tahun) apabila kemalangan itu meragut nyawanya. Berita itu saya terima ketika sedang memandu ke bandar Pontian bersama isteri. Teringat dulu ketika majlis persandingan kami 9 tahun lalu, Achik Spin adalah antara artis yang turut menghiburkan tetamu.
Kini segalanya tinggal kenangan. Kepada ahli keluarganya, banyak-banyaklah bersabar menempuhi dugaan hebat ini. Sama-samalah kita panjatkan doa semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh..Amin!